Saturday, June 15, 2013

Testimoni 3 -HERO by HILAL ASYRAF-

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Saya menyahut cabaran Akhi Hilal Asyraf (bukan cabaran pun sebenarnya :p) untuk menulis testimoni novel-novel yang pernah dikarang olehnya. InsyaAllah tujuan saya menulis testimoni dengan harapan dapat membuatkan ramai lagi merasai kemanisan tulisan yang dicoretkan oleh penulis muda ini agar sama-sama memahami kehendak dakwah dan tarbiyah yang sebenarnya. -ini bukan testimoni lagi, baru berbasi-basi-

                                                                                                                                                



          Novel seterusnya untuk saya jadikan sebagai testimoni adalah Novel Hero. Satu lagi karya akhi Hilal Asyraf yang unik dan kurang dipelopori oleh penulis-penulis di Malaysia. Karya yang berbentuk superhero perlu diperbanyakkan kerana realitinya masyarakat kita kini sangat meminati karya yang berbentuk fiksyen dan imaginatif sebagaimana yang dihasilkan kebanyakkan negara-negara Barat. Namun, novel Hero punya keistimewaannya sendiri apabila jalan cerita dan konteks pengisiannya penuh ilmiah serta tidak lari daripada seruan Islami dan tarbiyah. Elemen-elemen dakwah harus ada di dalam sebuah bahan bacaan untuk mendidik generasi kini seperti yang dibawa oleh penulis di dalam novel ini. Ikon Hero menjadikan Malaysia tidak kurang hebatnya setanding dengan negara-negara lain yang mempunyai ikon superhero masing-masing. Justeru, penulis-penulis di Malaysia seharusnya menjadikan novel Hero sebagai titik pencetus kepada lebih banyak lagi bahan bacaan yang berasaskan fiksyen dan superhero.

          Namun, disebalik kegagahan dan kehebatan sebuah ikon superhero, Hero tidak lari daripada masalah duniawi yang mana dihadapi oleh semua manusia yang beriltizam untuk hidup di dunia ini. Masalah yang dicetuskan oleh penulis menjadikan novel ini lebih menarik untuk dibaca. Walaupun lahir daripada kalangan keluarga yang mempunyai biah yang solehah, mawardah dan sakinah, namun Hero tidak dapat lari daripada ujian tentang fikrah yang dibawa oleh keluarganya dek kerana kurangnya masa beliau bersama keluarganya. Walaupun bapanya sibuk mentarbiyah ummah sehingga wujudnya kota yang kuat asasnya tentang Islam, namun kurangnya perhatian untuk anak menjadikan Hero yang tidak faham erti perjuangan yang sebenarnya. Asbab itu wujudnya Hero yang hanya berjuang dan membanteras jenayah hanya kerana ingin 'tugas', bukan kerana 'tanggungjawab'.

          Novel ini juga membawa pembaca ke dimensi realiti mengenai perancangan jahat musuh-musuh Islam dalam memperjuangkan misi mereka untuk menjatuhkan deen Islam di muka bumi. Namun, novel ini mengolah ceritera dengan adunan yang unik dan suspen apabila terdapat musuh-musuh Islam yang kembali kepada fitrah Islam lantas membantu agama Allah di muka bumi. Justeru, rancangan jahat musuh-musuh Islam tidak berjaya kerana telah digagalkan oleh Allah asbab saudara baru yang dijemput Allah untuk menerima hidayahNYA. Kehadiran mereka juga turut mengubah Hero menjadi Hero Islam yang sebenar. Setelah memahami apa sebenarnya perjuangan yang dituntut oleh Islam, Hero lantas mengorak langkah dengan menyalurkan teknologi Heronya kepada sahabat-sahabat yang turut sama memperjuangkan deen Allah di muka bumi. Jelas, Islam sebenarnya tidak mengangkat individu sebagai Hero, tetapi Islam mengangkat kesemua pejuang kebenaran yang membanteras kezaliman sebagai Hero di dunia dan di akhirat.

          Novel ini turut menyelami kehendak pembaca daripada aspek cinta yang syarie, apabila Hero itu sendiri turut memerlukan pasangan untuk didampingi. Pasangan yang perlu wujud dalam menyokong Hero untuk melaksanakan tugas dan dakwahnya. Walaupun pada permulaannya terdapat krisis di dalam perhubungan mereka, namun itu adalah semata isu yang dicetuskan oleh penulis untuk memperlihat bahawa perlunya kesabaran dalam menghadapi konflik rumahtangga. Namun, itu sekadar ujian sementara yang mana Allah letakkan kepada hambanya untuk memastikan selayaknya hamba-hambanya menghuni syurga Allah. Ujian di dalam rumah tangga adalah salah satu daripada beribu ujian dan mehnah kehidupan.

          Novel yang begitu imaginatif dan penuh unsur suspen dan aksi ini perlu diangkat oleh masyarakat untuk sama-sama kita fahami konteks dakwah dan tarbiyah dengan cara yang santai dan bersahaja. Novel ini juga perlu diiktiraf sebagai novel ikon Malaysia yang telah membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dengan munculnya superhero Malaysia tersendiri yang diredhai oleh Allah dan disenangi oleh masyarakat. Elemen cinta, keluarga, masyarakat, dan Islami wujud di dalam novel Hero sekaligus wujud dalam identiti Hero itu sendiri. Jadi, Hero adalah Hero Islam generasi kini. Kredit kepada penulis yang Allah kurniakan kelebihan padanya supaya penulis boleh berdakwah dan mentarbiyah ummah dengan caranya tersendiri. Sekian.


"Lebih daripada pembanteras Jenayah"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...