Friday, June 14, 2013

Testimoni 2 -TERASING by HILAL ASYRAF-

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Saya menyahut cabaran Akhi Hilal Asyraf (bukan cabaran pun sebenarnya :p) untuk menulis testimoni novel-novel yang pernah dikarang olehnya. InsyaAllah tujuan saya menulis testimoni dengan harapan dapat membuatkan ramai lagi merasai kemanisan tulisan yang dicoretkan oleh penulis muda ini agar sama-sama memahami kehendak dakwah dan tarbiyah yang sebenarnya. -ini bukan testimoni lagi, baru berbasi-basi-

                                                                                                                                                


          Novel kedua yang saya pilih untuk menjadikan testimoni kepada semua pembaca adalah Novel Terasing. Sangat sukar untuk memperoleh buku ini kerana tidak dijual di mana-mana kedai selain di Langit Ilahi dan StormReaders. Bookstore ini sahaja setakat pengetahuan saya yang ada menjual buku-buku epic karangan Hilal Asyraf. Novel ini agak tipis berbanding Novel beliau yang kebanyakkannya tebal tetapi tidak kalah dengan pengisian dan dakwah yang cuba disampaikan. Cukup hebat isi buku ini diadun sehingga membawa saya ke alam tersebut yang mana buku ini mempunyai unsur suspen dan taktikal yang kebanyakkannya diguna dalam bahan bacaan aksi yang lain. Terasing juga turut membawa saya ke dimensi realiti yang mana keadaan futur memang wujud dalam diri mana-mana pendakwah dan remaja lebih-lebih lagi kepada golongan seperti saya yang baru mengorak langkah dalam menyusun cerita dakwah dan tarbiyah saya di dunia ini untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

          Novel Terasing membawa pembaca ke dalam dimensi pemahaman mengenai perancangan jahat musuh-musuh Islam dalam cubaan menumbangkan Islam di muka bumi. Pelbagai kaedah dan cara yang tersusun direncanakan oleh mereka sehinggakan ramai ummat Islam yang tewas dan mengalah. Malah orang yang turut berada dalam dakwah dan tarbiyah turut tewas andaikata tidak mengambil langkah-langkah yang strategi dan tidak mampu menepis segala perancangan jahat mereka. Karakter Zaman menjadikan novel ini seperti realiti yang mana sekuat mana pun kita di dalam dakwah dan tarbiyah, hidayah tetap milik Allah. Justeru, bagaimana keadaan seseorang yang futur dapat dilihat di dalam novel ini. 

          Agenda membalas dendam turut dimuatkan di dalam novel ini menambahkan lagi kekuatan perjalanan cerita novel ini. Namun, Allah lah sebaik-baik perancang. Keadaan seseorang yang hidup di dalam dendam tidak akan tenang selamanya. Jadi, karakter Khairul diketengahkan untuk kita memahami, satu daripada pihak Khairul, dendam itu tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan kebinasaan, dan dua daripada pihak kita cubalah untuk menjaga perhubungan sesama manusia. Tetapi di dalam novel ini, bukan salah Saifullah kerana dia menjalankan tanggungjawabnya dalam membongkar kegiatan Khairul. Jadi, untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku bolehlah dapatkan novel ini. RM20 tidaklah terasa sia-sia dengan input dan pengisian novel Terasing ini.

          Selain itu, jika di follow up tulisan Akhi Hilal Asyraf, dapat disimpulkan bahawa novel-novel yang ditulis tidak akan tidak, disulami dengan perjalanan hidup sahabat-sahabat yang berukhwah kerana Allah. Dalam novel Terasing, ukhwah yang dibina pada permulaannya menjadi renggang hanya kerana wanita. Justeru, benar dikatakan oleh Nabi Muhammad junjungan besar kita yang mana wanita menajdi fitnah bagi para lelaki. Namun, dengan ikatan ukhwah juga mampu mengembalikan sahabat yang terpesong dek rancangan musuh-musuh Islam kepada fitrahnya iaitu Islam yang sebenar-benarnya. Allah menguji ukhwah mereka dengan mendatangkan ujian wanita, namun Allah juga yang menyatukan ukhwah mereka kerana Allah akan membantu hambanya kerana itu janji Allah kepada orang yang membantu agama Allah.

          Novel ini penuh dengan realiti ragam manusia yang berada dalam dunia dakwah dan tarbiyah. Imaginasi penulis menjadikan buku ini hadir dalam realiti kita. Penulis memanfaatkan kelebihan yang ada lalu dicurahkan di atas kertas untuk menjadi tatapan masyarakat sekalian. Rugi jika tidak mengambil peluang untuk membaca karya ini kerana di dalamnya terdapat elemen-elemen ukhwah dan dakwah yang ringan dan mampu di amalkan oleh kita semua. InsyaAllah.

          Semoga buku ini bermanfaat kepada pembaca dan kesemua lapisan masyarakat. Tidaklah tujuan memuji karya ini kerana ingin 'menikam' penulis dan membiarkan beliau jatuh ke dalam dunia pujian, tetapi sekadar untuk mengajak pembaca dan masyarakat untuk menjadikan karya yang penuh ilmiah ini tidak disia-siakan kerana terdapat mesej penting di dalamnya. Sekian.

"Sekiranya kamu mahu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya (Surah Ibrahim 14:34"

1 comment:

Reya Amer said...

Assalamualaikum Azzam...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...