Friday, June 14, 2013

Testimoni 1 - SINERGI by HILAL ASYRAF-

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Saya menyahut cabaran Akhi Hilal Asyraf (bukan cabaran pun sebenarnya :p) untuk menulis testimoni novel-novel yang pernah dikarang olehnya. InsyaAllah tujuan saya menulis testimoni dengan harapan dapat membuatkan ramai lagi merasai kemanisan tulisan yang dicoretkan oleh penulis muda ini agar sama-sama memahami kehendak dakwah dan tarbiyah yang sebenarnya. -ini bukan testimoni lagi, baru berbasi-basi-

                                                                                                                                                


          Novel pertama yang saya pilih untuk testimoni untuk Akhi Hilal Asyraf adalah Novel Sinergi. Mengapa? Kerana asbab novel inilah membuka hati dan jiwa saya untuk menelusuri bidang pembacaan Novel Islami yang mana tidak pernah saya selami sebelum ini. Saya meminati novel-novel dipasaran terutamanya novel yang menceritakan tentang masyarakat, cinta dan aksi. Saya tidak pernah mencuba bahan bacaan Novel Islami kerana saya berfikiran bahawa tulisan-tulisan mereka mesti berkisar tentang hal-hal yang membosankan. Itu lah persepsi saya awal mula pertama mula tentang bahan bacaan Novel Islami.

          Namun, pada suatu hari dengan percaturan Allah SWT, saya mendapat tugas untuk menjaga booth buku dibawah Kelab Sahabat Masjid ketika minggu penghayatan Islam. Saya membelek buku-buku yang ada di situ dan salah satunya adalah buku tulisan Hilal Asyraf iaitu Sinergi. Sekadar membelek, saya membuka muka surat demi muka surat dan sehinggalah sampai ke bahagian karakter-karakter "Disaster Five" diperkenalkan. Saya mengenali mereka kerana karakter-karakter tersebut pernah wujud dalam realiti kehidupan saya. Saya menutup buku tersebut dan terus membelek wallet dan mengeluarkan RM23.00 dan terus membeli buku tersebut.

          Justeru, saya mneghabiskan masa 1 hari suntuk pada hujung minggu untuk menghabiskan bacaan saya. Waktu rehat saya ketika itu hanyalah solat dan regangan ringan untuk menyegarkan badan dan sambung kembali bacaan saya. Alhamdulillah. Isi novel ini begitu dekat dengan hati dan realiti kehidupan saya. Walaupun tidak sama daripada segi jalan cerita, namun tetap ada persamaan dari segi karakter-karakter yang wujud dalam novel ini. Ketika itu, saya baru berjinak-jinak dengan dakwah dan tarbiyah, jadi saya begitu komited dalam menghabiskan bacaan saya dan tidak menghiraukan perkara disekeliling saya . Saya tidak mengerti.

         Namun, novel ini telah membawa saya ke satu tahap yang lain, iaitu keikhlasan dalam berukhwah. Terbayang sahabat-sahabat saya yang selalu menziarahi, terkenang sahabat-sahabat yang selalu bertanya khabar diri dan khabar iman sehingga kadangkala wujud perasaan yang menjengkelkan terhadap mereka. Namun, setelah menghabiskan bacaan ini, saya mula mengerti, apa itu ukhwah. Apa itu mencintai kerana Allah. Lantas saya mula melakukan perubahan mengenai hubungan sesama manusia. Bukan itu point saya. Apa yang cuba saya sampaikan adalah betapa kritisnya novel ini sehingga mampu menjadi Turning Point saya dalam berukhwah.

         Novel ini cukup lengkap dalam memperdalam tentang kehendak Ukhwah menurut Islam, keinginan Cinta pada syarak, keperluan iman dalam menghadapi ujian, kekuatan jiwa dalam menghadapi fitnah dan pelbagai lagi ragam tentang isu-isu masyarakat dan karakter-karakter manusia yang dipelbagaikan. Novel ini hebat bukan pada cantiknya kulit buku semata, tetapi turut hebat dalam memperhalusi kehendak pembaca muda seperti saya. Pujian kepada penulis bukanlah semata kerana ingin beliau merasa gah, tetapi untuk penulis berasa bersyukur kerana dianugerahkan kelebihan yang mana tidak semua orang miliki iaitu dapat mendekati masyarakat dengan penulisannya InsyaAllah.

          Alhamdulillah Ya Allah. Syukran Akhi Hilal Asyraf. Kepada semua peminat novel, saya menyarankan agar bacalah novel ini. Novel ini lain daripada yang lain, jika anda menyatakan anda meminati novel-novel yang berada di pasaran, percayalah. Saya sudah membaca hampir kesemua novel di pasaran. Alaf 21 terutamanya. Jadi, novel ini tidak kalah pada novel-novel dipasaran. Iqra'. Teruskan hobi membaca anda kerana ia menjana percambahan idea dan mengembangkan daya pemikiran ke tahap yang lebih cerdas. Tetapi, pemilihan bahan bacaan biarlah bernas, dapat memuaskan hati kita disamping dapat menjana ilmu serta pahala, itulah bahan bacaan pilihan saya. Perlu diingat, 'Keimanan adalah Paksi'. Sekian.
          

"Apabila semua dihubungkan dengan keimanan, maka ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa"
          

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...