Tuesday, January 3, 2012

Jangan Malu Menuntut Ilmu Dan Ikhtilat Dalam Jemaah di Masjid

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW


عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ قَالَ فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنْ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ


Daripada Abi Waaqid Allaithy R.A, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika mana Baginda sedang duduk di dalam masjid  bersama-sama dengan kumpulan manusia (para sahabatnya dalam majlis ilmu) , tiba-tiba datang tiga orang, lalu dua orang terus menyertai majlis Rasulullah salallahu alaihi wa sallam dan seorang lagi pergi begitu sahaja(tanpa menyertai).Lalu kedua-dua orang itu berdiri (dekat halaqah), maka salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong di dalam halaqah ilmu tersebut lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang mereka dan manakala yang ketiga pula terus memalingkan punggung dan beredar pergi. Maka apabila Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam selesai ( memberi pengajian), lalu Baginda bersabda : Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu ( tidak bersungguh-sungguh), maka Allah juga malu daripadanya(tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).
(Hadith riwayat Al-Bukhari no: 64 , dengan lafaz daripadanya.)

Allah telah menetapkan kedudukan perempuan adalah di belakang lelaki sebagaimana firman-Nya:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."
(An-Nisaa' 4:34

Ini pula petikan ringkas fatwa Dr Yusof Al-Qordhawi mengenai hukum iktilat.

Pendapat ulama yang memfatwakan haram itu termasuk pendapat yang keras yang tidak berpijak kepada nas. Ia banyak menzalimi wanita dengan pelbagai fatwa yang keras dan ketat sehingga wanita terpenjara di rumah-rumah mereka.

Ada juga di sana pendapat kaum Liberal (Women’s lib) yang berlawanan dengan golongan fatwa yang mengharamkan itu, iaitu menyeru agar wanita meninggalkan syariat dan lepas bebas seperti kaum wanita di barat.

Pokoknya, kedua-dua golongan ini; golongan pertama, mereka yang terlalu mengongkong wanita, memenjara dan seakan menzalimi kaum wanita. Manakala golongan kedua pula, liberalis yang membebaskan wanita semaksimumnya dan menyebabkan berlakunya keruntuhan moral yang amat dahsyat sehingga tidak dapat dikawal lagi.

Islam merupakan agama yang sempurna dan tidak membebankan. Wanita sejak zaman permulaan islam tidak lepas bebas dan tidak pula hanya terpenjara di rumah sahaja. Bahkan mereka aktif keluar bersama kaum lelaki (dalam suasana terkawal saya ingin tegaskan) contohnya, pergi ke masjid untuk solat berjemaah, mencari ilmu, menolong jiran tetangga dan sebagainya.

Wanita juga keluar melakukan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar, menghadiri majlis ilmu, menyertai perang jihad, mencari rezeki atau berkerjaya, berpolitik, mendapatkan hiburan yang baik, menghadiri perayaan dan menyertai jemaah atau kumpulan yang membawa manfaat seperti Ikram atau Isma contohnya. Inilah maksud firman Allah swt:

“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan itu, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran.” (At-tubah ayat 71)

Dalam konteks ini, tiada halangan lelaki dan perempuan ajnabi berkawan serta liqa’ atau pertemuan untuk bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan, seperti menuntut ilmu, menjalankan program-program kebajikan dan jihad.

Perincian Dr Abdul Halim Abu Syuqqah (sahabat kepada Dr Yusof Al-Qordhawi)

1.    Pertemuan dan kerjasama itu hendaklah dalam suasana serius.
2.    Menahan pandangan.
3.    Menghindari berjabat tangan.
4.    Mengenakan pakaian yang menepati kaedah Syara’. (Sungguh! Saya sangat benci melihat wanita islam yang berpakaian ketat dan bertudung singkat)
5.    Tidak bersesakan dan lebih elok jika ada jarak pemisahan.
6.     Menghindari khulwah (berdua-duaan di tempat yang sunyi), namun boleh jika:
         a)     Khulwah di kawasan awam yang ada ramai orang.
         b)     Beberapa lelaki dan seorang perempuan.
         c)      Seorang lelaki dan beberapa orang perempuan.
7.      Tidak terlalu lama dan berulang.
8.      Menghindari tempat yang mencurigakan.
9.      Menjauhi perbuatan maksiat dan dosa.

~ Dr Abdul Halim Abu Syuqqah meninggal pada tahun 1995. Beliau adalah sahabat karib Dr Yusof Al-Qordhawi di Universiti Qatar.

Kesimpulan
Setelah meneliti sedikit sebanyak dalil yang menceritakan mengenai kedudukan muslimin dan muslimat dari semua aspek, dapat di simpulkan bahawa di haruskan untuk jemaah di masjid membuat dua kelompok lelaki dan wanita untuk mempelajari ilmu agama. Keutamaannya adalah supaya anak murid dan guru sendiri dapat berinteraksi dan mengajar secara berdepan dan dapat menyampaikan ilmu dengan lebih mudah. Malahan, tidak timbul fitnah kerana pabila semua orang berada di masjid dan mempelajari ilmu, aurat dan pandangan automatik akan terjaga kerana Allah menjaga hambaNYA yang berkumpul dan memenuhi majlis-majlis ilmu. Wallahualam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...