Tuesday, September 13, 2011

Solat Tiang Agama

credit to : Bro Munir



InsyaAllah gua ingin berkongsi post yang dibincangkan oleh Brother Munir tentang beberapa persoalan penting mengenai tatacara dalam solat -->>


Sudah tentu kekhusyukan itu sangat penting, tetapi kita tidak boleh ambil ringan tentang tatacara solat. Perkara ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan kekhusyukan kita, disamping kewajipan daripada hadis Nabi s.a.w. "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihatku solat."
-riwayat Bukhari dan Ahmad-



Didalam menjawab persoalan-persoalan ini, saya berikan sebahagian hadis-hadis yang berkaitan, berdasarkan rujukan saya dalam buku Sifat Solat Nabi oleh Syaikh Al-Albani, Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq, rujukan hadis dari Ringkasan Sahih Bukhari dan Ringkasan Sahih Muslim oleh Syaikh Al-Albani, buku Formula Solat Sempurna oleh Ust. Zaharuddin dan Ensiklopedia Shalat oleh Syaikh Abu Malik Kamal. Mohon rakan untuk perbetulkan jika terdapat kesilapan.


Persoalan pertama yang saya ingin bawakan ialah mengenai niat. Ramai dikalangan masyarakat yang ragu-ragu ketika niat, malah bertakbir beberapa kali kerana 'lafaz' niatnya tidak sempurna. An-Nawawi mengatakan, "makna niat adalah kehendak melakukan sesuatu. Seseorang yang ingin mengerjakan solat, menghadirkan di dalam hatinya tentang solat yang ingin didirikan" (Sifat Solat Nabi). Begitu juga Ibnu al-Qayyim, "tempatnya ialah di dalam hati, dan ia tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan penuturan lisan"(Fiqh Sunnah). Tiada hadis yang menyatakan tentang niat perlu dilafazkan. Maka, janganlah kita ragu-ragu lagi tentang niat didalam solat, sesungguhnya keraguan itu adalah dari bisikan syaitan. Wallahualam.


Kedua adalah mengenai cara mengangkat tangan, dan waktu-waktunya. Saya bawakan satu hadis yang popular dalam menerangkan cara dan waktunya. Dari Salim bin Abdullah, dari ayahnya (Abdullah bin Umar), bahawa Rasulullah s.a.w.mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya ketika beliau takbir (Allahuakbar), iaitu saat memulai solat. Dan jika ruku' beliau melakukan seperti itu, juga ketika mengangkat kepalanya dari ruku', beliau mengangkat kedua tangannya seperti semula sambil mengucapkan 'sami'Allahu liman hamidah, rabbana wa lakalhamd'. Beliau tidak melakukan (mengangkat tangan) ketika takbir untuk sujud, dan tidak juga ketika mengangkat kepalanya dari sujud.
-riwayat Bukhari-





Sebahagian hadis menyatakan bahawa baginda mengangkat kedua tangan separas dengan telinga, perkara ini juga dibolehkan. Saya terangkan disini kerana masih ada mereka yang mengangkat tangan terlalu tinggi, dan ada yang hanya mengangkat separuh jalan. Disamping waktu-waktu di atas, Nabi s.a.w. juga mengangkat tangan ketika berdiri selepas rakaat kedua, sebagaimana diriwayatkan dari Nafi' (riwayat Bukhari).

Seterusnya ialah mengenai tatacara rukuk. Rukuk yang baik ialah meletakkan kedua tangan pada kedua lutut, meluruskan bahagian belakang badan termasuk kepala, dan diwajibkan berhenti seketika (thuma'ninah). Persoalan ini saya bawakan kerana sebahagian masyarakat terlalu membongkokkan badannya kebawah, ada yang meletakkan tangannya dibahagian tulang kering (betis) dan ada juga yang tidak berhenti seketika terutama ketika mengerjakan solat sunat.

Hadis pertama dari Abu Humaid, dia berkata antara para sahabatnya, "Nabi s.a.w. menempatkan kedua tangannya pada kedua lututnya, lalu beliau meluruskan punggungnya" -riwayat Bukhari-. Hadis kedua dari Mush'ab bin Saad, ia berkata "Aku solat disamping ayahku. Aku meluruskan kedua telapak tanganku dan aku letakkan di atas kedua pehaku. Kemudian ayahku melarangku. Ia berkata 'Dulu kami pernah melakukan seperti itu, lalu kami dilarang, dan diperintahkan untuk meletakkan tangan kami diatas lutut." -riwayat Bukhari dan Muslim -Bab meletakkan tangan di atas lutut ketika rukuk-

Mengenai kedudukan kepala pula, Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa "Apabila Nabi s.a.w. rukuk, beliau tidak menonjolkan kepalanya ke atas (mendongak) dan tidak pula membongkokkannya ke bawah, tetapi memposisikan kepalanya antara dua keadaan tersebut."
-riwayat Muslim-

Persoalan seterusnya ialah tatacara sujud. Perkara penting yang perlu dijaga ialah menyempurnakan anggota sujud, dan berhenti sebentar (thuma'ninah) ketika sujud tersebut. Dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata, Nabi s.a.w. bersabda "Aku diperintahkan sujud di atas tujuh tulang; Pada kening -seraya menunjukkan pula hidungnya dengan tangannya-, kedua tangan, kedua lutut, dan hujung-hujung jari kedua kaki."
-riwayat Bukhari dan Muslim-

Antara kesilapan yang sering dilakukan ialah pada bahagian kaki, dimana sesetengah orang tidak membengkokkan jari kakinya menyentuh tanah, ada yang kakinya terangkat dan ada yang menjarakkan kedua telapak kakinya. Dari Aisyah "Saya mendapati beliau (Nabi s.a.w.) sedang bersujud dengan merapatkan tumit kakinya, sedangkan jari kakinya menghadap kiblat" -riwayat Ibnu Huzaimah, Baihaqi, disahihkan oleh Al-Albani-.

Mengenai hidung sebagai anggota sujud, sebahagian ulama menyatakan wajib, sebahagian lagi menyatakan cukup sekadar dahi. Apa yang terbaik ialah meletakkan hidung sebagai anggota sujud sebagaimana hadis diatas dan hadis sahih yang lain, "Tidak dianggap solat bagi orang yang tidak menetapkan hidungnya ketanah sebagaimana dahinya menetap ke tanah" -riwayat Daruquthni, disahihkan oleh Al-Albani -Sifat Solat Nabi- .

Mengenai kedudukan tangan ketika sujud, posisi terbaik berdasarkan hadis adalah separas dengan bahu, mahupun telinga, dengan siku diangkat dan direnggangkan dari badan. Abu Humaid berkata, "Nabi s.a.w sujud, beliau meletakkan kedua-dua telapak tangannya, dan tidak menempelkan lengan (ke tanah) dan tidak pula rapat pada tubuhnya"-riwayat Bukhari-. Dari Anas bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda,"Jangan berlebih-lebihan dalam sujud, dan janganlah seseorang di antara kalian meluruskan lengannya seperti anjing (iaitu rapat ke tanah)." -riwayat Bukhari dan Muslim -Bab: Tidak menempelkan siku ketika sujud-





Rukuk dan sujud sangat penting untuk dijaga, kecuali dalam keadaan mudarat. Dari Zaid bin Wahb, ia berkata, "Hudzaifah melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Setelah orang itu menyelesaikan solatnya, dia berkata kepadanya, 'Engkau belum solat. Jika engkau mati, maka engkau mati di luar sunnah Muhammad s.a.w."
-riwayat Bukhari (Bab: Jika tidak menyempurnakan rukuk dan sujud)-

Mengenani tatacara sujud dan ruku' bagi wanita, sebahagian ulama membezakan, sebahagian lagi menyamakan dengan lelaki, kerana tiada satu dalil sahih yang menyatakan tentang perbezaan tersebut. Keumuman ini berdasarkan hadis pertama diatas "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihatku solat", pendapat ini dikatakan lebih kuat. Syaikh Abu Malik Kamal (Ensiklopedia Shalat) menyatakan, wanita boleh memilih antara dua pendapat ini, kerana pendapat yang membezakan itu juga dikatakan oleh banyak ulama salafus soleh. Wallahualam.

Semoga dengan sedikit penerangan ini, kita dapat sama-sama memperbaiki kualiti solat kita agar lebih dekat kepada sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Masih ada lagi permasalahan dalam solat yang tidak sempat saya sertakan sekali, insyaAllah akan saya tulis dalam post akan datang. Sebarang kemusykilan bolehlah sama-sama kita periksa, jika ada kesalahan, mohon diperbetulkan. =)





p/s sama2lah kita memperbaiki amalan solat kita. Perkara pertama yang akan Allah tanyakan di akhirat kelak adalah solat. Baik Solat baiklah amalan yang lainnya InsyaAllah. Kita sama2 belajar ok , gua pun masih perlu banyak diperbaiki. So Amal tanpa Ilmu sesat , so carilah ilmu fardhu ain kerna ia wajib pada gua dan semua. Setelah ada ilmu barulah kita beramal dengan betul kerna ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. So jum ! perbaiki diri perbaiki agama :D

1 comment:

imHepPie said...

trimas atas info...kdg2 kita terlupa bila tgh senang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...