Saturday, October 30, 2010

Aku Sepasang Kasut

Namaku Nike, aku adalah dari bangsa trainer.  Jenis-jenis lain, juga yang selain daripadaku dijual  di merata kedai sukan. Aku telah dibeli semenjak  setahun yang lepas. Semenjak itu hidupku mula  berubah. Aku menjangkakan tentulah kebanyakan  daripada hayatku akan kuhabiskan di trek atau di  gimnasium. Tapi jangkaanku meleset. Tuanku lebih  kerap membawa aku ke masjid-masjid dan ke rumah  kawan-kawannya. Aku sempat mencuri-curi dengar  kegiatannya dalam kelompok tersebut.

Itulah yag  dinamakan usrah rupanya. Apa yang ingin ku ceritakan  di sini mungkin berguna kepada kalian semua. Berikut  adalah pemerhatianku berkenan tuanku. Dia seorang  da`i, kekagumanku dengan usahanya telah menginsafkan  aku untuk mncoretkan warkah ini.  

 Dahulu, tuanku hanya berseorangan. Aku selalu ke  masjid bersamanya seorang. Di sana beliau  mengabiskan masa mendengar ceramah agama, tak cukup  dengan itu, habis kedai-kedai buku agama kami  kunjungi. Sememangnya dia seorang yang obsessed  dengan ilmu pengetahuan. Tafsir al-Qur'an memang  selalu dibacanya. Ini membanggakan aku, kerana dapat  berbakti kepada seorang yang cintakan ilmu.    

Aktivitiku tidak terhad begitu sahaja, aku juga  sering dibawa ke kompleks sukan dan padang bola.  Yang peliknya aku mendapat ramai kenalan ketika  berada di padang, tetapi sering berseorangan ketika  dibawa ke masjid.    Dahulu, ini menjadi aktiviti kegemaranku, kerana  dengan ini aku mendapat ramai kawan. Mulanya aku  agak pelik dengan situasi ini, tetapi lama-kelamaan  ramai kenalanku turut serta setiap kali aku ke  masjid. Kini fahamlah aku, tuan aku menggunakan  padang bola dan kompleks sukan untuk berdakwah  rupanya. Masya Allah! Tak sangka juga, dengan  aktiviti sukan tuan aku sempat juga mengajak  rakan-rakan ke masjid.

Sekarang aku tidak bersendiri  lagi. Hampir setiap malam tuan aku akan berkunjung  ke rumah rakan-rakannya. Di sini aku mengambil  peluang untuk bersama dengan rakan-rakanku untuk  bertukar pengalaman. Rakan-rakanku amat mengagumi  tuanku. Aku tumpang berbangga.    Usrah berjalan hampir setiap malam. Sememangnya tuan  aku tidak kenal erti rehat. Baginya tempat rehat  adalah Syurga dan masa untuk tidur adalah di alam  kubur. Semua kasut akan senyap setiap kali tuan aku  mula berbicara. Kaata-katanya penuh hikmah, setiap  isi disokong dengan hadis dan ayat al-Qur'an. Tuan  aku tidak banyak bercakap apatah lagi perkara yang  sia-sia. Aku dapati rakan-rakan tuanku turut kagum  dengan kebolehannya.  

 Apabila bersama rakan, tidak pernah langsung beliau  mencerca rakan yang lain. Jika ada perkara yang  hendak ditegurnya akan dilakukan dengan hikmah. Aku  lebih banyak mendengar beliau memuji orang  berbanding mencerca kesalahan orang.    Kini aku masih berbakti lagi. Aku tahu kalian tentu  menganggap tulisanku ini gila dan tidak masuk akal.  Akan tetapi renungkanlah kata-kataku ini. Aku  mungkin kasut, tetapi suatu hari nanti mungkin Tuhan  akan memberikanku mulut untuk berkata-kata, untuk  bersaksikan apa yang tuan aku telah kerjakan. Pada  saat itu akan aku saksikan pada Tuhan apa yang aku  nukilkan pada kalian.  

 Untuk kalian semua contohilah tuanku. Berdakwahlah  dengan cara hikmah. Jangan sekali-kali lari dari  masyarakat. Terkadang masyarakat di sekeliling  kalian suka bersukan, atau mungkin sukakan hiburan.  Ikutlah rentak mereka sebagaimana aku menari  mengikut irama tuanku. Dalam berkata-kata hendaklah  kalian berhati-hati, jauhilah cerca dan maki,  lebihkanlah ukhuwwah dan pujian. Sesungguhnya mad`u  suka dipuji. Namun puji biarlah ikhlas.  

 Apabila berbicara gunakanlah al-Qur'an dan al-Hadis.  Jangan kalian ikut sesedap mulut, kelak menikam  kalian dari belakang. Tambahkanlah ilmu kalian, maka  orang akan mendengar cakap kalian. Bukankah Tuhan  menjanjikan darjat yang tinggi untuk orang yang  berilmu? Jadilah da`i yang serba boleh. Jangan  kalian sekatkan skop dakwah kalian, setakat mengajak  ke surau dan masjid. Ingatlah, bersukan, muzik,  berjalan, itu semua adalah dakwah bagi kalian.  Setapak kalian berjalan, mungkin bisa mencampak  hidayah ke dalam diri teman kalian.  

 Oh! Aku memang tidak layak untuk menasihat kalian.  Apatah lagi aku hanya sepasang kasut. Kalian tidak  perlu memaafkanku kerana aku hanyalah kasut. Tetapi  maafkanlah tulisan aku kira aku cuba mengajar  kalian, makhluk yang terbaik di sisi Allah. Sebelum  lidah kasutku ini bergetar deras, cukuplah dulu  nukilan dariku, sepasang kasut seorang da`i.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...